[Dengan maklumat bahawa ada keahlian PUIM terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, artikel ini ditujukan khusus kepada yang beragama Islam. Yang tidak beragama Islam pun boleh baca juga]
Rasulullah sollallahu alaihi wasallam pernah bersabda, akan datang suatu zaman bila manusia tidak kisah lagi samaada rezeki mereka dari jalan halal atau haram.
Saidina Umar semasa zaman beliau menjadi khalifah pernah mengenakan syarat kepada sesiapa yang ingin berniaga di pasar (iaitu untuk mendapatkan lesen perniagaan), mereka wajib mengetahui hukum-hukum asas dalam perniagaan.
Artikel ini akan mengupas secara ringkas konsep dropship dari sudut pandang syariah.
Dropship
Dropship merupakan satu kaedah perniaagaan atas prinsip ‘ju‘alah’, iaitu wakil penjual (ejen) hanya mendapat untung jika berjaya membuat jualan. Secara mudahnya, dropship boleh diringkaskan seperti berikut:-

1. Ejen membuat perjanjian dengan pemilik barang.
2. Ejen mengiklankan barangan pemilik barang tadi. (Penting: Ejen tidak mengaku barangan sebagai barang sendiri).
3. Pembeli membayar ejen.
4. Ejen membayar pemilik barang.
5. Pemilik barang hantar kepada pembeli.
Ia bersifat non-binding atau sukarela, dan kedua-dua pihak (pemilik barang dan ejen dropship) boleh menamatkan kontrak bila-bila masa. Pemilik barang perlu membuat hebahan bahawa dia tidak lagi membuat dropshipping, tapi ejen boleh berhenti bila-bila masa tanpa perlu memberitahu pemilik barang.
Dropship haram
Sudah pastilah ada jenis-jenis dropship yang haram.
Antaranya, menjual barang-barang yang haram dari sisi syara’ atau menjual barang-barang untuk kegunaan aktiviti haram walaupun barangan tersebut pada asasnya tidaklah haram. Contohnya seperti menjual botol kepada individu/syarikat yang diketahui mengeluarkan arak.
Menjual barang yang belum ada
Antara larangan kepada peniaga mengikut majoriti pendapat ulama’ ialah menjual barang siap yang tiada. (Barang tempahan khas/custom made dikecualikan)
Jadi langkah berikut adalah dilarang oleh majoriti ulama:-
1. Ejen mengiklankan barangan.
2. Pembeli membeli dan membayar ejen.
3. Ejen baru nak cari dropshipper/pembekal.
Ini bagi mengelakkan rasa tidak puas hati pembeli andai barang yang ditempah rupanya tidak dapat diserahkan oleh ejen.
(Walaubagaimanapun, ada pendapat segelintir ulama yang membolehkan dengan syarat barangan tersebut dapat diserahkan secara pasti mengikut spesifikasi yang diiklankan).
Jalan selamat jika ingin melakukan teknik di atas, ejen disarankan tidak mengambil wang dari pembeli terlebih dahulu, tetapi mendahulukan wang sendiri atau pinjam dari tempat lain untuk membeli dari pembekal/pemilik barangan.

 

Sekarang ia sudah jadi seperti jual beli biasa, namun dengan pembeli yang pasti.
Kita doakan semua urusan perniagaan kita mendapat berkat.

Ashraf Latif
Professional Kewangan Islam Berkanun
Untuk pertanyaan dan cadangan, emel ke ashrafcifp[at]gmail.com