Alhamdulillah kita bertemu lagi dalam artikel siri yang ketiga tentang bisnes gaya Rasululah s.a.w. dan mengapa perlunya kita jadikan baginda sebagai idola dalam berurusniaga dan contoh teladan yang paling utama. Sebelum ini saya telah bincangkan secara ringkas 4 aspek penting dalam hidup yang dapat kita asah dan bentuk dengan cemerlang melalui perniagaan. Di kesempatan ini saya akan  membicarakan satu lagi aspek penting yang terdapat dalam perniagaan iaitu ibadat.

Pada artikel sebelum ini saya biasanya mengupas secara ringkas sahaja aspek-apek penting yang ingin saya tonjolkan sebagai jawapan kepada persoalan mengapa perlunya kita sebagai ummat Islam dan ummat Muhammad s.a.w. mengutamakan aktiviti perniagaan di samping membentangkan hujjah mengapa kita perlu contohi Rasulullah s.a.w. yang merupakan pedagang terulung di zamannya dan tiada siapa yang mampu lakukan perkara yang sama seperti baginda s.a.w. sampai bila-bila. Namun kali ini saya kupas dengan lebih lanjut kerana ia merupakan aspek penting dan difahami dengan sejelas-jelasnya.

5- Berniaga merupakan salah satu cabang ibadat dalam Islam.

Aspek seterusnya mengapa kita ummat Muhammad s.a.w. digalakkan berniaga adalah kerana ianya salah satu cabang ibadat yang sangat hebat! Kita semua tahu dan faham bahawa dalam Islam, bekerja juga dianggap sebagai salah satu amal ibadat yang mana diberi ganjaran pahala padanya. Oleh yang demikian para usahawan yang benar-benar terlibat dengan perniagaan secara telus dan bertanggungjawab akan mendapat pahala dan diberkati hidupnya.

Mungkin masih ada yang ingin tahu atau mahu bertanya mengapa aktiviti perniagaan itu boleh dianggap sebagai ibadat dan hukumnya adalah fardhu kifayah? Sebenarnya apa saja perkerjaan yang dilakukan kerana Allah Taala dan berusaha menunaikan tanggungjawabnya terhadap ahlinya ia dikira ibadat.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Jika ada seseorang yang keluar dari rumah untuk bekerja demi menyara kehidupan anaknya yang masih kecil, maka ia telah berusaha di jalan Allah. Jika ia bekerja untuk dirinya sendiri agar tidak sampai meminta-minta pada orang lain, itu pun di jalan Allah. Tetapi jika ia bekerja untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah, maka itu adalah mengikut jalan syaitan,” (Hadith Riwayat Thabrani).

Arab-businessman_monkeybusinessimages_i photo_18702

Bila kita lihat lebih dengan dekat dan lebih teliti, kita dapati bahawa para peniaga atau usahawan banyak menyumbang jasa kepada masyarakat. Dengan adanya peniaga, keperluan harian masyarakat dapat diperolehi dengan lebih mudah dan harga yang munasabah. Jika tidak ada orang Islam yang terlibat dengan perniagaan dan hanya bergantung kepada mereka yang beragama lain, masyarakat akan menghadapi masalah terutamanya untuk mendapatkan keperluan makanan yang suci lagi bersih.

Saya bagi contoh apa yang berlaku kapada sahabat saya yang berkunjung ke Korea dan Filipina. Di sana amat sukar sekali untuk kita mencari kedai makan yang menjual masakan yang halalan toyyiban. Kedai yang dipapar dengan label halal sekalipun belum pasti ia halal sepenuhnya! Walaupun saya bagi contoh yang jauh nun di luar sana, tapi ianya tidak mustahil berlaku di sini, di negara Malaysia yang tercinta.

Ok… saya bagi contoh yang praktikal dan berfakta. Menurut beberapa orang sahabat saya yang berkerja di bahagian halal dan haram Jakim, katanya majoriti hotel di Malaysia terutamanya di bandar-bandar besar sukar mendapat kelulusan sijil halal kerana beberapa alasan yang menjadi halangan. Ini berlaku di Malaysia, majoriti rakyatnya ummat Islam dan majoriti hotel tersebut tukang masaknya adalah orang Islam, cuba bayangkan jika peniaga majoriti orang bukan Islam yang tak faham sangat tentang syariat Islam secara jelas, dapatkah kita pastikan ayam yang dijual oleh mereka betul-betul disembelih dengan kaedah yang betul dan daging import yang dijual benar-benar halal?

Bila mana ada terdapat usahawan muslim yang bertanggungjawab dan jujur, mereka akan memudahkan kita dengan membekalkan bahan makanan yang halal lagi bersih, tidak syak lagi! Ini antara sumbangan para peniaga kepada ahli masyarakat seluruhnya tak kira miskin atau kaya, tua atau muda. Banyak lagi sumbangan peniaga jika saya senaraikan satu per satu. Cukuplah dengan contoh ringkas yang saya berikan.

379362_359077894147671_692015014_n  Jual+Beli+2

Boleh saya simpulkan di sini bahawa berniaga itu fardhu kifayah. Maksudnya jika tidak ada di kalangan kita orang Islam yang serius terlibat dalam bidang perniagaan, maka kita semua berdosa! MasyaAllah, sama hukumnya dengan solat jenazah. Perlu ada dalam masyarakat ini yang terlibat dan mengetahui selok belok tentang perniagaan. Ini salah satu sebab utama kita perlu terlibat dengan perniagaan. Dan perniagaan itu adalah ibadat.

Sebelum saya menutup perbincangan saya pada kali ini, ingin sekali lagi saya tegaskan bahawa Islam memandang tinggi mereka yang terlibat dalam arena perniagaan dan menjadikannya sumber rezeki yang utama sepertimana Rasulullah s.a.w. Ini kerja yang sama dibuat oleh junjungan besar kita nabi Muhammad s.a.w. Ianya adalah sunnah. Kita berniaga sebenarnya kita menghidupkan sunnah! dan kita sedang melakukan ibadat, pada masa yang sama kita menyelamatkan masyarakat sekeliling dari berdosa.

Akhir sekali mari kita hayati firman Allah Taala dalam Quraanul Karim tentang pentingnya perniagaan. “Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”. (Surah an-Nisa’ ayat 29)

Walalahua’lam.