Semua orang faham dan akui sememangnya modal merupakan aspek penting bagi sesebuah perniagaan samada produk fizikal, digital ataupun perkhidmatan. Bila sebut saja modal, ramai yang terbayang difikiran adalah wang ringgit dan berapa jumlah aset yang dimiliki, namun pada hakikatnya diri sendiri juga adalah modal. Malah diri bukan sekadar modal tetapi modal yang paling penting bagi sesebuah perniagaan yang diwujudkan.

Mengapa saya nyatakan sedemikian? Seperti yang kita maklum, potensi diri setiap orang sungguh hebat! Kita semua dikurniakan sistem pancaindera yang hebat, keinginan dan kemahuan, ilmu pengetahuan dan pengalaman serta keyakinan yang tinggi dalam mencipta kejayaan demi kejayaan. Hanya berbekalkan modal diri yang sudah siap lengkap ini, maka kurang atau tiadanya modal yang berupa wang atau aset berupa harta tidak sesekali menjadi penghalang menjadi usahawan cemerlang dan terbilang.

Maka terserlahlah keadilan Allah Taala kepada kita semua kerana setiap diri sendiri telah dikurniakan serta dilengkapkan dengan keupayaan dan potensi untuk menjadi usahawan yang berjaya, kaya dan bahagia. Tidak cukup dengan itu, Allah sediakan kepada kita ummat Islam dan masyarakt dunia keseluruhannya contoh terbaik iaitu Rasulullah s.a.w. sebagai model ikutan yang paling lengkap dan memenuhi seluruh syarat.

Dalam mengupas lebih jauh tentang modal diri, suka saya merujuk kepada 3 elemen terpenting yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan. Elemen-elemen ini umpama perisian (software) yang perlu ada dalam diri setiap insan (hardware) yang ingin mencipta nama sebagai usahawan yang terbilang. Antara elemen tersebut ialah sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan atau dalam bahasa inggerisnya boleh disingkatkan sebagai ASK (Attitude, Skill, Knowledge).

Screen Shot 2013-01-23 at 8.04.01 AM

Merujuk pada ketiga-tiga elemen ini, insan yang paling ideal untuk kita rujuk adalah Rasulullah s.a.w. Baginda adalah model terbaik untuk diikuti kerana dirinya memenuhi ketiga-tiga elemen ini secara total. Perniagaan baginda bermula dengan bermodalkan dirinya sendiri, tanpa wang dan tanpa jumlah aset yang besar.

Bermula sebagai pengembala kambing, baginda mengorak langkah sebagai usahawan yang hebat dan seterusnya menjadi usahawan yang berkarismatik dan bertaraf antarabangsa. Berbekalkan dirinya sendiri, Rasulullah s.a.w. berjaya menjadi seorang saudagar yang amat dikenali dalam masa yang begitu singkat dan memberi impak yang cukup hebat kepada masyarakat sekeliling dan juga usahawan-usahawan lain pada ketika itu.

Kejujuran dan kesabaran dalam berurusniaga mula meresap dan menjadi piawaian kepada masyarakat sekeliling ketika itu yang terkenal dengan sikapnya yang kasar dan sungguh keras. Baginda menganggap pelangan sebagai raja dan perlu dilayan sebaik yang boleh agar mereka semua berpuas hati. Setiap barangan atau produk yang dijualnya mestilah mempunyai kualiti yang tinggi dan layan terbaik diberikan kepada setiap pelangan. Suasana yang harmoni dan selamat diwujudkan oleh Rasulullah s.a.w. semasa melakukan urusniaga. Inilah salah satu kunci utama perniagaan baginda berkembang dengan cepat dan melebar luas ke seluruh tempat.

Selain jujur dan sabar melayan karenah pelangan, awal bertapak dalam perniagaan baginda juga banyak belajar melalui dirinya sendiri. Ilmu pemasaran yang dimiliki oleh baginda mustahil diceduk dari sesiapapun kerana baginda tidak tahu membaca dan bukanlah dari kalangan bangsawan yang punya kemampuan untuk belajar strategi dan teknik pemasaran dari mana-mana usahawan ternama. Jauh sekali untuk berdampingan dengan konglomerat hebat di awal penglibatannya dalam bidang perniagaan. Apa yang mampu dilakukan adalah sentiasa berfikir dan bertindak pantas bagi meningkatkan diri menjadi seorang peniaga yang benar-benar cemerlang.

Baginda banyak meneliti keperluan masyarakat sekeliling dan masyarakat tempat yang disinggahinya. Pasar dan tempat tumpuan ramai menjadi fokus baginda, kebanyakkan pasar yang terkenal pada masa itu menjadi target utama seperti pasar-pasar di Yaman, Syiria, Iraq, Jordan dan Bahrain. Sikap bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa menjadi senjata untuk meneroka, merangka dan melaksana ilmu pemasaran yang kian mantap dari masa ke semasa.

Selain memfokuskan kepada pelangan, baginda juga tidak lupa menjalinkan hubungan yang baik dan bijak dengan para peniaga di sekelilingnya. Walaupun mereka merupakan kompetitor yang hebat pada masa itu kerana modalnya besar dan barangannya pelbagai, namun dengan sikap yang positif dan proaktif, mereka semua menjadi rakan seperniagaan yang baik. Maka dengan itu jaringan (network) baginda cepat bercambah dan bertambah serta merebak begitu cepat.

Dari masa ke semasa Rasulullah s.a.w. bertambah bijak dan berkemahiran dalam memahami dan mengaplikasi ilmu pemasaran. Baginda adalah seorang yang jujur, amanah, teliti, sabar, tidak berputus asa, bersungguh-sungguh, cepat faham dan pantas dalam bertindak. Selain belajar dari pengamatan, pengalaman dan data yang diperolehi dari masyarakat dan para pelangannya, baginda juga cekap belajar dari jaringan kompetitornya. Maka tidak hairanlah ada yang menggelarkan baginda seorang saudagar yang genius pada masa itu.

Oleh kerana sikap baginda yang konsisten positif, proaktif dan produktif, maka banyak pengetahuan diperolehinya yang menjadikan kemahiran berniaganya juga bertambah mantap dan hebat. Pengalaman yang dilalui dan pengetahuan yang diperolehi menjadikan Rasulullah s.a.w. seorang usahawan atau peniaga yang mempunyai kemahiran dan ketrampilan yang sungguh tinggi dan hebat pada masa itu. Ini semua berlaku di awal usia 20an.

Berita tentang kehebatan baginda berurusniaga dengan cepat tersebar ke seluruh tempat dan negera yang disinggahinya. Baginda umpama magnet yang menarik minat para jutawan dan hartawan pada masa itu. Pelbagai tawaran diterima baginda termasuk penanaman modal dalam membesarkan perniagannya, mengelola dana-dana mereka, usahaniaga bersama dan seumpamanya.

Sikap dan etika perniagaan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. telah membina ‘personal branding’ yang kuat di kalangan masyarakat pada masa itu. Maka kekayaan, modal pusingan dan aset baginda bertambah secara mendadak, perniagaannya semakin hebat dan penerimaan masyarakat sungguh menakjubkan. Saat itu jugalah datangnya tawaran daripada Saiyidatina Khadijah iaitu konglomerat terhebat pada zaman itu yang akhirnya menjadi teman hidup dan rakan kongsi perniagaan Rasulullah s.a.w. yang memacu lagi perniagaan mereka bersama ke tahap yang lebih tinggi dan cemerlang.

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang usahawan yang hebat, perlu fokuskan sungguh-sungguh pada modal yang ada pada diri sendiri iaitu sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan. Ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling berkaitan. Inilah sebenarnya modal terhebat dalam membina empayar perniagaan sepertimana yang ditunjukkan secara praktikal oleh Rasulullah s.a.w. Tanpanya perniagaan akan tempang dan tak mungkin dapat bertahan. Dalam dunia yang semakin canggih dan berteknologi sekarang ini, peluang untuk menjadi usahawan hebat lebih terbuka dan peluang memantapkan modal diri semakin mendesak.

Integriti dan ketrampilan diri amat kritikal dan penting bagi semua yang ingin bergelar usahawan. Mereka yang mampu mengaplikasikan ketiga-tiga elemen penting ini dalam sistem perniagaannya secara konsisten dan ‘genuine’ insyaAllah usaha untuk menjadi usahawan yang hebat dan cemerlang tidak sukar dan bukanlah misi yang mustahil. Wallahua’lam.