Keluhan. Kecewa. ‘Down’. Putus asa. Buntu.

Ianya menjadi sahabat usahawan yang ada produk (barang fizikal/digital, servis) dan dipasarkan tetapi gagal melakukan jualan atau jualan tidak memberangsangkan. Tak kira usahawan online atau offline, ianya tidak seharusnya menjadikan anda hilang semangat atau lebih buruk lagi ‘beralih arah’.

Kredit gambar: https://equinoxhr.com/equinox/group-insurance

Kredit gambar: equinoxhr.com

Kembali kepada asas, semak semula produk anda dan bagaimana pemasaran yang dilakukan. Perbetulkan di mana silap dan perkemaskan apa yang perlu. Lima perkara ini boleh dijadikan panduan asas untuk anda semak produk anda sebelum ianya boleh menjual;

  • ‘Awareness’

Pastikan ‘target market’ sedar masalah mereka. Jika mereka tidak tahu yang ianya suatu masalah untuk mereka, bagaimana untuk anda menjual kepada mereka?

Contohnya, anda menjual ubat gout untuk Muaz yang suka makan makanan laut dan malas melakukan aktiviti fizikal. Anda dapat rasakan yang Muaz berpotensi untuk diserang gout berdasarkan tabiatnya, tetapi Muaz belum pernah diserang gout. Adakah anda rasa Muaz akan membelinya?

Lebih mudah untuk anda menjual jika Muaz sedia maklum tentang kesan buruk tabiatnya dan sangat mudah lagi untuk menjual jika Muaz pernah diserang gout

ACTION: Kumpul prospek anda dan ‘tembak’ maklumat untuk mereka ‘hadam’ sekaligus membuatkan mereka sedar yang mereka perlukan produk anda!

  • Kebolehpercayaan

Siapa anda untuk menjual. Penting untuk meletakkan diri anda ‘lebih pandai’ atau ‘lebih berpengalaman’ dari ‘target market’ anda.

Kita ambil contoh yang sama tadi, katakan anda mahu menjual ubat gout pada Muaz yang diserang gout. Ketika diserang gout, Muaz telah melakukan sedikit rujukan berkaitan penyakit tersebut mengenai makanan yang harus dielakkan.

Anda datang kepadanya dan bercerita tentang gout dan Muaz bertanya untuk tahu lebih mendalam daripada anda sebagai penjual ubat gout mengenai apakah makanan yang harus dia elakkan. Anda menjawab dengan mesra “makanan laut yang bercengkerang sahaja. Makanan lain tak ada masalah. Ayam, daging, kambing semua OK, tempe lagi OK, awet muda!”.

Muaz pula tahu daripada pengalaman dia diserang gout dan hasil pembacaannya yang daging kambing dan tempe menyumbang kepada gout. Adakah Muaz akan membeli daripada anda?

ACTION: Pastikan anda kemaskan diri anda dengan maklumat produk dan buat sedikit kajian tentangnya. Pelanggan mencari mereka yang lebih tahu untuk mendapatkan solusi masalah mereka.

  • Saiz Pasaran

Ianya penting untuk anda tahu berapa besar pasaran anda. Berapa ramai bakal pembeli anda. Pastikan ianya cukup besar untuk anda dapatkan keuntungan. Hasilkan atau jual produk yang ada permintaan.

Contoh berkaitan ubat gout tadi. Untuk menentukan saiz pasaran gout ini selain melakukan kajian katakunci di Google/Yahoo, anda juga boleh dapatkan data kes gout yang dirujuk ke hospital/farmasi.

Contoh pada perspektif lain, katakan anda ada sedikit pengalaman di zaman universiti dulu dalam mengatur subjek setiap semester bagi memastikan CGPA anda sentiasa 3.5 ke atas. Anda rasakan yang pengalaman anda ini jika dibukukan tiada orang akan beli. Anda ‘assume’ yang ianya tiada pasaran.

Tetapi jika anda buat sedikit kajian yang mendalam mengenai jumlah graduan yang mendapat CGPA rendah dan jumlah graduan yang ada masalah mencari pekerjaan kerana CGPA rendah, anda akan dapati pengalaman anda anda pasaran yang sangat besar!

ACTION: Sebelum buat produk, lihat saiz pasaran terlebih dahulu. Jika ada pengalaman, jangan cepat buat andaian ‘tiada pasaran’, kaji saiz pasaran terlebih dahulu!

  • Kemahuan Berubah

Anda harus cari mereka yang ada kemahuan berubah. Mereka mahu berubah dan mencari solusi mengenai masalah mereka. Mereka tahu masalah mereka dan ada motivasi mahu berubah.

ACTION: Ada banyak cara. Salah satunya anda melakukan pengiklanan berbayar di Google/Yahoo/Bing. Pengunjung Google secara asasnya datang mencari maklumat dan solusi masalah mereka. Anda tawarkan solusi masalah mereka, duit untuk anda!

  • Keberkesanan

Produk/Solusi yang anda tawarkan berkesan atau tidak. Anda tahu ianya berkesan tetapi bagaimana untuk membuktikan yang ianya berkesan.

Pembelian dilakukan atas keyakinan terhadapnya. Berkesan atau tidak. Ada atau tidak orang lain yang telah menggunakannya dan memberikan hasil yang positif.

ACTION: Tonjolkan keberkesanan produk. Anda boleh buat ‘case study’ kejayaan penggunaannya. Anda juga boleh mendapatkan testimoni pengguna/pelanggan anda. Cara lain adalah memberikan ‘trial’ atau ‘test drive’ kepada bakal pelanggan anda biar meraka merasai sendiri pengalaman sebelum membuat keputusan melakukan pembelian.

Bagaimana dengan produk anda? Semak 5 perkara ini dan cuba perkemaskan. Jika berjaya jangan lupa kongsikan artikel ini untuk manfaat rakan usahawan online yang lain!