Artikel kali sambungan bagi artikel sebelum ini yang membicarakan tentang kenapa kita perlu menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai model dalam menjadi usahawan yang cemerlang. Sebelum ini dua elemen penting yang telah saya huraikan secara santai. Artikel kali ini saya paparkan dua lagi elemen terpenting yang mmbuktikan Rasulullah s.a.w. adalah usahawan terunggul di muka bumi ini dan wajib menjadi ikutan semua manusia bukan hanya ummat sahaja.

Kedua-dua elemen ini saling mengukuh antara satu dengan yang lain, iaitu karakter dan ilmu pengetahuan. Rasulullah s.a.w. berniaga adalah sebagai contoh teladan untuk seluruh ummatnya. Ia bukan semata kerana berniaga boleh jadi kaya atau kerana berniaga boleh dapat kuasa, tetapi kerana melalui perniagaan banyak perkara utama dalam hidup dapat disemai dan diraih hasilnya, insyaAllah…

Cuba kita lihat secara lebih dekat para usahawan yang berjaya dan bertaqwa, tentu kita dapati mereka bukan semata-mata kaya tetapi juga mempunyai karakter yang mantap dan memiliki ilmu yang padat. Walau sebahagian daripada mereka tidak belajar secara formal tetapi pengalaman yang dilaluinya amat berharga dan menjadi panduan buat siapa saja  yang  benar-benar ingin berjaya dalam perniagaan. Setiap kata-katanya penuh dengan ilmu, setiap perbuatannya merangsang ke arah kejayaan dan setiap senyumannya terselit seribu satu  makna yang amat berguna.

Mari kita lihat dengan lebih dekat dua lagi aspek utama yang ada pada Rasulullah s.a.w. sebagai usahawan hebat yang unggul dan amat patut kita contohi.

3- Membina karakter yang hebat dan melahirkan insan yang berakhlak mulia.

Berniaga bukan hanya boleh membuatkan seseorang itu kaya, tapi juga ia berperanan penting dalam membentuk karakter seseorang dan menjadi medan praktikal yang sungguh berharga. Kebanyakkan ilmu yang diperolehi tidak sama di kalangan usahawan kerana cara dan pengalaman masing-masing adalah unik dan berbeza.

rahsia-sedekah  profesionalisme

Demikianlah tandanya kekayaan ilmu Allah Taala dan kemurahan nikmatNya. Namun konsep asas kejayaan dalam perniagaan adalah sama, dan natijahnya bila berjaya mengaplikasikannya sungguh mengujakan dan mampu membuahkan hasil yang amat lumayan. Mereka yang bersungguh-sungguh mengaplikasikan karakter Nabi Muhammad s.a.w. dalam dirinya dalam berurusniaga pastinya akan menjadikannya usahawan yang hebat dan diredhai Allah Taala.

Beberapa karakter hebat Rasulullah s.a.w. yang sempat saya paparkan di sini adalah jujur dan jelas dalam setiap urusniaga yang dibuat. Baginda tidak pernah memburuk-burukkan produk peniaga-peniaga yang lain, malah lebih fokuskan pada produk jualannya sendiri. Selain itu layanannya terhadap pelangannya dan kejujurannya dalam berniaga tercatat dalam perjalanan hidupnya dan dalam hadith-hadith serta athar para sahabat baginda s.a.w.

Kita tak pernah jumpa dalam sirah Rasulullah s.a.w. baginda bersaing secara tidak sihat dengan para peniaga yang lain kerana merebut pelangan atau berbalah dengan pelangannya kerana mempertahankan produk yang dijualnya. Malah baginda mempunyai karakter hebat yang menarik minat orang sekeliling untuk bermuamalat dengannya seperti rendah hati, pemaaf, dermawan, tidak pilih kasih, tidak suka menyibuk tentang hal orang lain dan bijak berkomunikasi.

Kerekter baginda yang sangat hebat dalam urusniaganya dan sentiasa prihatin akan ummatnya menjadikan baginda sentiasa di hati semua mereka yang berada di sekelilingnya. Redha Allah menjadi tujuan utama dalam setiap tindakannya termasuklah dalam bermuamalat.

Natijah dari karekter yang hebat ini telah melahirkan sahabat-sahabat baginda yang sungguh cemerlang dalam perniagaan seperti Abdul Rahman Bin ‘Auf, ‘Usman Bin ‘Affan dan ramai lagi. Mereka telah muncul sebagai ikon yang sangat dikenali dan dicontohi sebagai hartawan dan konglomerat hebat yang beriman dan bertaqwa.

4- Merangsang untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran.

Dengan menjadi usahawan juga seseorang itu akan menjadi seorang yang berilmu dan mampu memandu arah mereka yang memerlukan panduan dalam perniagaan terutamanya dan juga dalam kehidupan seharian amnya.

3.44.20  al-quran-dan-iptek

Kita biasa melihat ramai usahawan yang telah berjaya membuka jalan dan mengajar kelompok usahawan-usahawan baru untuk terus mencipta kejayaan yang cemerlang. Mereka tidak berkira dan menganggap ilmu dan nikmat yang diperolehi dari perniagaan perlu dikongsikan kerana itulah salah satu cara untuk menzahirkan rasa syukur kepada Ilahi di atas nikmat yang diberi.

Setiap tindakan dan langkah berani yang diambil semasa berurusniaga mempunyai nilai yang tinggi. Ianya adalah mutiara ilmu yang dianugerahkan Allah kepada mereka melalui tindakan dan kesabaran yang diharungi. Dengannya kehidupan lebih bermakna, kejadiaan di sekeliling menginsafkan dirinya dan apa jua yang diperolehi tidak pernah lupa akan kebesaran dan kemurahan Allah Taala yang mendorong mereka sentiasa peka dengan suruhan Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Inilah sebenarnya yang ingin ditanamkan oleh baginda dalam perniagaan yang diusahakannya. ia merupakan elemen yang tersurat di sebalik penglibatan Rasulullah s.a.w. dalam medan pertempuran perniagaan yang memerlukan ketahan tahap maksimum. Bukan semata kerana harta atau kuasa atau wanita! Sedangkan orang-orang kafir dan tidak beriman menjadikan perniagaan untuk menindas dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Kuasa menjadi buruan dan mereka menjadikan hartanya sebagai alat untuk mendapatkannya.

Bila harta dan kuasa berjaya dimiliki secara batil dan tidak bersyariat, wanita dan apa saja yang dikehendakinya tiada pantang dan tiada peraturan, semuanya halal dan sah baginya. Astaghfirullahal ‘aziim…

Setelah datangnya Rasulullah s.a.w. ketika manusia seluruhnya berada dalam kegelapan dan dosa berleluasa, satu sinar baru wujud dan telah mula menerangi alam seluruhnya. Baginda telah menjadikan perniagaan salah satu fokusnya yang penting dan berusaha bersungguh-sungguh sejak awal remajanya kerana baginda Nabi s.a.w. tahu melalui perniagaanlah kekuatan dan ketahanan serta kebijaksanaan seseorang akan teruji. Berniaga juga melambangkan kebebasan dan tidak ada keterikatan dengan mana-mana pihak yang boleh mengawal dan mengambil kesempatan.

Alhamdulillah setelah melalui berbagai ranjau dan sabar terhadap apa jua cabaran, baginda telah lahir sebagai saudagar yang amat hebat dan diperakui oleh pengikut dan penentangnya. Ilmu perniagaannya tersebar seragta alam dan menjadi ikutan seluruh manusia.

Rasulullah s.a.w. sering digambarkan sebagai seorang yang ummi iaitu tak tahu membaca dan menulis. Walaupun kenyataan ini masih diperdebatkan oleh para ulama, namun yang jelasnya bahawa baginda s.a.w. memiliki minda yang amat luar biasa yang dipimpin secara direct oleh Allah Taala.

Insan macam inilah yang boleh kita gelarkan sebagai genius! 

Kepentingan ilmu pada Rasulullah s.a.w dapat dilihat dari hadith-hadithnya yang mendorong ummatnya menuntut ilmu secara serius dan bersungguh-sungguh. Salah satu dari haditnya tentang dorongan agar menuntut ilmu yangbbermaksud;

“Barangsiapa yang menelusuri jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Kesimpulannya, bila kita tiru Rasulullah s.a.w. dalam berurusniaga, insyaAllah apa yang diperolehi bukan hanya ilmu perniagaan saja, tetapi juga karakter diri dapat dipertingkatkan ke tahap maksimum bagi memacu diri lebih berjaya dan pada masa yang sama diredai Allah Taala. Semoga artikel ini bermanafaat buat kita semua, jumpa lagi sambungannya di artikel yang akan datang, insyaAllah. Wallahua’lam…