Satu persoalan yang mungkin kadang-kadang bermain dalam fikiran dan ianya perlu jawapan yang jelas serta meyakinkan, kenapa perlunya kita berniaga ikut Rasulullah? Saya pernah ditanya oleh beberapa orang sahabat katanya Rasulullah s.a.w. diutuskan bukan misi utamanya untuk berniaga tapi untuk menyampaikan dakwah Islamiyah, kenapa kita nak tonjolkan Rasulullah s.a.w. dari aspek perniagaan? Saya juga pernah terbaca beberapa komen dan pandangan yang sama dari forum, facebook dan blog peribadi. Maka dari sinilah saya terpanggil untuk menulis artikel ini.

Saya memang bersetuju dengan pandangan mereka yang menegaskan bahawa tugas dan misi terpenting Rasulullah s.a.w. diutuskan ke muka bumi i ni adalah untuk menyampaikan agama Islam yang suci lagi benar. Cuma saya tidak bersetuju bila dipersoalkan kenapa harus berniaga bermodelkan  Rasulullah s.a.w. Ada beberapa hujjah saya paparkan di sini dengan tegas dan jelas bahawa perlunya kita semua mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dalam apa jua perlakuan, gerakkerja & tindakan.

Tiada pengecualian atau alasan kerana baginda adalah utusan Allah yang menjadi role model bagi semua perkara dan urusan dalam hidup ini. Iya benar… semua perkara dari sekecil-kecilnya seperti rutin harian  (bersugi, mandi, tidur, makan dan seumpamanya) sehinggalah perkara yang lebih besar dan serius seperti dalam soal ibadat, mentadbir negara, mengurus keluarga, menjalankan berniaga dan lain-lainnya. Sesungguhnya tiada siapapun yang mampu menafikan keunggulan peribadi baginda Rasululah s.a.w. dalam semuaaspek kehidupan walaupun di kalangan orang bukan Islam dan juga orientalis.

Sungguh banyak hujjah yang boleh dibentangkan kenapa perlunya kita semua ikut Rasulullah s.a.w. terutamanya dalam bidang perniagaan. Di sini saya jelaskan tujuh (7) aspek utama di mana ianya masih boleh dipecahkan perbincangannnya dengan lebih terperinci. Saya fokuskan secara umum dahulu, dan di kesempatan lain saya akan perincikan satu persatu, insyaAllah.

Screen Shot 2013-01-28 at 9.40.35 AM

1- Mendidik manusia mengurus dan meluruskan niat.



Merujuk kepada kepentingan niat, ramai di kalangan kita telah biasa dengan hadith-hadith yang sungguh masyhur tentangnya. Saya tidak mahu mengulas hadith tersebut, cuma pada ruangan yang ringkas ini saya ingin menegaskan tujuan Rasulullah s.a.w terlibat dalam perniagaan bukan kerana inginkan kenikmatan & kehebatan dunia seperti keuntungan, kemewahan, pangkat & pujian atau seumpamanya. Sebaliknya sebagai panduan dan tanggungjawab baginda s.a.w. menunjuk cara berniaga yang diredhai Allah secara praktikal di samping membuktikan masih mendapat keuntungan darinya malah lebih hebat untungnya dan lebih berkat berbanding cara berniaga yang tidak mengikut syariat Allah.

Maksudnya di sini kita ummat Islam perlu betulkan niat bila terlibat dengan perniagaan semata-mata kerana Allah dan keuntungan adalah nombor dua atau nombor tiga. Baginda faham dan tahu perniagaan ini salah satu punca manusia akan menjadi kaya raya dan baginda juga sedar bahawa kekayaan yang tidak diasaskan kukuh dengan ajaran Islam akan hancur dan menghancurkan, akan mengundang keburukan dan memburukkan dan dengan kekayaan juga kemewahan juga akan memporak porandakan masyarakat dunia seluruhnya.

Zaman jahiliyyah telah membuktikan kepada kita semua, di mana kekayaan  mampu mengundang kuasa dan kuasa pula sangat berupaya merosakkan masyarakat manusia seluruhnya! Lihatlah melalui sejarah bagaimana manusia menjadi hina kerana kekayaan & kemewahan, manusia menjadi bongkak, tidak berperi kemanusiaan dan lupa daratan kerana harta dan kuasa. 

Astaghfirullahal ‘aziim.

Jelaslah di sini bahawa terlibatnya Rasulullah s.a.w. dalam arena perniagaan adalah bukan secara kebetulan atau terpaksa, jauh sekali kerana kerana kepuasan nafsu dan kerana keinginan kepada kuasa dunia yang sementara. Sebaliknya ia merupakan tanggungjawab seorang Rasul akhir zaman yang sungguh faham akan hakikat hidup manusia yang sebenarnya dan atas rasa kasih sayang dan cintanya serta sifat belas kasihan terhadap ummat baginda s.a.w.
 seluruhnya.

2- Mendidik masyarakat berakhlak mulia

 dalam apa jua urusan termasuk perniagaan.

Sejak dari zaman baginda Rasulullah s.a.w. 1434 tahun lampau sampai sekarang tiada siapa yang boleh menafikan kehebatan dan kemuliaan akhlak juga peribadi Rasulullah s.a.w. walaupun di kalangan musuh Islam sendiri. Melainkan ada beberapa golongan manusia yang mempunyai niat jahat untuk merosakkan nama Islam dan penganutnya dengan menyerang peribadi Rasulullah s.a.w. dengan hujjah-hujjah yang lemah dan longgar! Isu tersebut taknak saya bincangkan di sini, banyak buku-buku di luar sana yang membicarakannya dengan lebih terperinci.

Sungguh jelas melalui perniagaan akhlak dan peribadi seseorang dapat dibentuk dan dapat kita lihat. Dalam perniagaanlah sifat dan sikap positif seperti sabar, rajin, bersunguh-sungguh, jujur, amanah, ikhlas dan banyak lagi dapat dipraktikkan. Kerana kita faham bahawa perniagaan bukanlah sesuatu perkerjaan yang senang dan menyeronokkan bagi semua orang. Saya juga pernah dengar orang berkata bahawa tidak semua orang boleh menjadi peniaga atau usahawan. Ini adalah satu jawapan kepada saya yang membuatkan saya lebih jelas tentang dunia perniagaan. Kebetulan pula memang saya dah lama terlibat menjadi usahawan, maka kefahaman itu lebih mendalam dan menusuk jauh ke dalam…

Selain itu, medan perniagaan juga menarik minat ramai mereka yang mempunyai sifat dan akhlak buruk seperti tamak, dendam, hasad dengki, bakhil, gelojoh, batu api, bengis, menindas dan bermacam-macam lagi. Kenapa saya berkata demikian? Kerana dalam perniagaan, ruang dan peluang terbentang luas. Bermacam-macam cara dan kaedah untuk mengaut keuntungan tanpa belas kasihan. Kuasa adalah segala-galanya, dan untuk berkuasa harta adalah syarat utama. Cuba bayangkan bila kuasa dan harta menjadi target utama peniaga, apakah yang kita dapat lihat di sekeliling kita? Pastinya kemusnahan, ketidakadilan dan penindasan yang berleluasa.

Maka dengan datangnya Rasulullah s.a.w. dalam arena perniagaan, situasi buruk di atas akan dapat dielakkan. Baginda berniaga dengan rasa kasih dan sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa, jujur dan jelas, ikhlas dan amanah, cekap dan berkualiti serta adil dan bertanggungjawab. Sikap dan akhlaq unggul Rasulullah telah dirakam dengan jelas oleh Allah Taala dalam Kitab-Nya yang mulia dalam surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung.”

Alhamdulillah syukur kita ummat Islam dan seluruh manusia di alam ini kerana  junjungan besar Nabi Muhammad telah diutuskan sebagai penyuluh jalan kebenaran kepada semua manusia di alam yang sementara ini. Akhirat jua tempat kembali. Samada berniaga atau apa jua yang kita semua lakukan pastinya untuk meraih redha Allah. Tanpa redha dari-Nya, hidup kita di dunia ini  pasti tidak mendatangkan apa-apa makna, sebaliknya kerugian dan seksaan yang amat pedih di akhirat sana, wal’iyazubillahi min zaalik!

Sekadar itu saja buat kali ini, saya akan sambung lagi topik ini dalam artikel yang akan datang. Baki lima (5) lagi aspek penting yang perlu saya jelas bagi membuka minda mereka yang mempersoalkan kenapa perlu kita berbisnes mengikut cara dan gaya Rasulullah s.a.w. Semoga penjelasan ringkas ini memberi banyak manafaat kepada kita semua. InsyaAllah jumpa saya lagi pada artikel-artikel yang akan datang. Salam kejayan buat semua terutamanya para usahawan dan masyarakat Islam seluruhnya. Ingatlah bahawa perniagaan adalah jihad ekonomi! Wallahua’lam…