Hari ini, ingin dikongsikan bait-bait ayat dan falsafah oleh Donald Trump melalui buku beliau yang bertajuk ‘Think Big’ Make It Happen in Business and Life. Buku ini, saya miliki pada 7.2.2011, sebagai hadiah harijadi untuk diri sendiri! Setelah sebulan mula serius dengan perniagaan online ketika itu dan mula mencari ilmu tambahan, buku ini adalah buku pertama yang mencuri hati dan telah membuka minda untuk meneruskan perjuangan di dalam dunia perniagaan. Bermula dengan buku ini, pencarian menambahkan koleksi buku-buku ilmiah diteruskan sehingga ke hari ini dan tak mungkin akan berhenti!

Ini antara ayat-ayat yang sering terngiang-ngiang di fikiran dan suka untuk memberitahu anda juga, di dalam terjemahan dan fahaman saya:

  1. Miliki impian yang tinggi menggunung! – Anda dan semua manusia, kita memiliki impian. Cuma persoalan di sini, apa yang anda sanggup lakukan atau korbankan untuk mencapai impian anda? Tidak salah tetapi harus unutk anda sentiasa miliki impian tiada batasnya. Kerana dengan impian, anda akan sentiasa hidup dalam keadaan yang positif dengan tujuan ia akan tercapai satu hari nanti. Bila dah simpan impian setinggi ini, jangan pula setakap bercakap tanpa mengambil sebarang tindakan. Renungkan, jika impikan sesuatu hari ini, tetapi tidak melakukan apa-apa, pandang ke hadapan dan toleh apa yang akan berlaku dalam masa 5 tahun lagi? Di mana anda ketika itu?
  2. ‘Passionate’ tentang apa yang anda lakukan – Letakkan segalanya pada minat anda yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Jika apa sahaja yang anda usahakan adalah berdasarkan ‘passion’, segalanya mungkin! Lebih banyak pintu kejayaan akan terbuka tanpa anda sedari. Jika ini berlaku, cepat-cepat rebut peluang, tetapi awas, hati-hati memilih peluang-peluang tersebut. Bila ‘passion’ menjadi tunggak, lama-kelamaan, duit perniagaan dan simpanan anda akan tinggi melangit!
  3. Fahami bahawa ‘passion’ mengatasi ketakutan anda – Anda mungkin tidak sedar, tetapi selalu sangat kerana minat yang mendalam, segala kemungkinan dan cabaran, anda akan sanggup redah! Asalkan kehendak dihati dipenuhi. contoh yang ringkas, ‘smartphone’ keluar dengan model yang lebih canggih, anda akan sanggup mengikat perut semata-mata hendakkan teknologi terkini! Mungkin juga, anda menginginkan segulung ijazah tetapi satu cabaran, ada presentation akhir yang memerlukan anda berucap di depan orang ramai! tetapi, anda sebenarnya memiliki ‘stage fright’ yang teramat sangat! Apa pilihan anda? Teruskan pengucapan awam ataupun lupakan segulung ijazah tersebut?
  4. Fokus kepada penyelesaian bukan masalah – Apa sahaja yang kita fikirkan, negatif atau positif, itu yang akan menyapa kehidupan seharian kita. Anda perlu selalu mencari jalan unutk menyelesaikan apa sahaja rintangan yang mendatang dengan sikap yang positif. Sentiasa tanamkan pada minda, semuanya boleh diselesaikan. Buang jauh-jauh dari minda apabila satu musibah menimpa, anda mula memikirkan nasib anda memang malang dan seolah-olah berdoa apa pula musibah yang seterusnya menanti anda. Sifat ini yang kita namakan juga ‘Law of Attraction’ Anda , apa yang anda fikirkan! Jadi, mana satu pilihan anda?
  5. Berfikiran terbuka untuk menerima informasi dan idea baru – Mungkin anda telah menjadi pakar dalam sesuatu bidang. Tetapi, sentiasa buka minda unutk menerima idea baru dari kenalan agar anda dapat berdaya saing dengan teknologi dunia masa kini. Setiap hari ada sahaja cara terbaru yang memungkin anda menambah baik empayar perniagaan yang sedia ada. Dengar dan fikirkan. Pilih cara yang terbaik dan sesuai dengan diri dan jenis perniagaan anda. Kalau sudah pakar membuat pemasaran menggunakan ‘mailing list’, apa kata dengar cadangan ‘sms marketing’ pula?
  6. Kepakaran di dalam sesuatu bidang membina momentum diri – Anda telah berjaya dikenali kerana kepakaran di dalam sesuatu bidang. Tahniah! Terkenal sebagai seorang pembuat muffin ataupun sebagai master copywriter? Apa sahaja bidang anda, secara tidak langsung anda telah membina momentum diri di kalangan sahabat handai dan juga keluarga. Anda dihormati dan disegani kerana mereka tahu anda mengambil masa serta strategi dan semangat yang tidak pernah luntur untuk menjadi diri anda sendiri. Momentum ini berterusan dengan sifat anda yang tidak kenal erti putus asa. Teruskan usaha dan momentum ini akan berkekalan.
  7. Momentum boleh dibentuk dengan bimbingan mentor yang berpengalaman –  Sebelum bergelar pakar, anda mungkin mencari seorang mentor di dalam bidang yang sama untuk membimbing anda di dalam bidang yang anda minati. Berguru dengan sepenuh hati. Seorang mentor ingin melihat anak didik mereka berjaya. Pengalaman mentor-mentor tersebut menjadi suntikan semangat kepada anda untuk menjadi lebih hebat.

Jadi, apa tunggu lagi? Think Big!