Semua orang tahu salah satu cara untuk menimba ilmu ialah melalui pembacaan. Antara petikan yang digemari dan sering bermain di fikiran saya ialah, apabila Donald Trump pernah berkata, pada satu peristiwa, beliau harus menampilkan diri hanya untuk seketika di atas sebuah bot di kota New York. Sebelum sempat beliau beredar, bot itu sudah meninggalkan pelabuhan dan sudah berada di tengah-tengah sungai. Tiada pilihan, beliau terpaksa juga cuba mengikut rancangan yang tidak di duga dan cuba berhibur dengan orang ramai di atas bot tersebut. Yang menariknya, beliau dapat peluang untuk berbual-bual dengan ramai orang dan mendapat idea-idea hebat sepanjang malam itu.

Ini yang bermain di fikiran saya. Selalu peluang yang terhebat hadir, bila kita tidak bersedia. Jika difikir-fikirkan, mungkin ada peluang yang kita pernah terlepas. Mungkin juga, itu bukan rezeki kita. Pengalaman sendiri, tidak pernah menyangka akan melibatkan diri di dalam dunia perniagaan! dengan ikhlas mengatakan, memang saya tidak suka membuat sebarang jualan. Terasa mengada-ngada mempromosikan sesuatu kepada prospek. Pelbagai bidang telah saya ceburi. Tapi akhirnya, bidang ini juga yang memberikan saya kebebasan dalam memilih hidup yang lebih berkualiti.

Semuanya bermula apabila tersedar bekerja keras dari pagi hingga larut malam, termasuk hujung minggu, saya rindukan masa untuk bersama-sama keluarga. Sungguh pilu apabila setiap kali melangkah keluar bekerja awal pagi, anak-anak masih tidur dan bila tiba waktu saya melangkah pulang, sekali lagi situasi yang sama. Saya kehilangan saat dan detik melihat kehidupan anak-anak saya setiap hari. Saat indah, suka duka mereka, tidak saya ketahui. Tertanya pada diri. Adakah saya seorang ibu yang tidak bertanggungjawab? Saya takut, anak-anak tidak kenal siapa ibu mereka! Bukan ini yang saya impikan apabila memiliki keluarga sendiri. Untungnya, suami saya amat memahami situasi ketiadaan saya di rumah. Tetapi, sebagai seorang isteri, perasaan bercampur baur. Sampai bila harus saya ‘melayan’ seluruh keluarga saya sebegini?

Langkah yang drastik saya ambil dan bertekad untuk menjadi surirumah. Dengan alasan, saya lebih bahagia menguruskan rumahtangga. Tetapi, baru dua bulan tidak bekerja, hati mula resah dan rimas. Saya inginkan keseronokan mengawal aliran tunai saya sendiri. Tidak seronok asyik meminta duit belanja daripada suami. Sudah mula terfikir hendak bekerja semula. Tetapi, hati terasa sungguh berat. Kerana tahu, komitmen yang sama akan berulang kembali. Saya sudah semakin mesra dengan anak-anak.  Serba salah! Ingin menjadi ibu yang terhebat untuk keluarga saya, dan ingin juga berdikari dalam soal aliran tunai sendiri. Terasa rugi belajar sehingga ke universiti, tetapi tidak menggunakan ilmu yang tersedia ada di dalam diri.

Memang betul. Peluang hadir tanpa kita sedari. Saya tidak bersedia  sepenuhnya apabila mula terjun dalam bidang alam maya. Tetapi, memang nampak kesan media sosial amat tinggi. Dan ini sahaja peluang terbaik sekiranya saya ingin berdikari tetapi masih dapat masa yang berkualiti bersama keluarga. Dengan perasan gentar saya tetap memulakan langkah pertama!

Kini, genap 2 tahun saya bergelar usahawan sepenuh masa; online! Sepanjang perjalanan ini, saya masih tidak jemu belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman kerana saya sedar, ilmu tidak akan habis sampai bila-bila. Setiap hari, ada sahaja ilmu baru yang boleh saya kongsikan atau orang lain berkongsi dengan saya.

Seronok untuk berniaga serta melihat apa yang diusahakan berjaya. Tiada jalan mudah. Saya sendiri pada mulanya tiada kenalan yang minat dalam perniagaan, lebih-lebih lagi yang sudi berkongsi perjalanan sebagai seorang usahawan. memang pada mulanya tercari-cari. Di mana dan siapakah mereka yang serupa seperti saya? Dengan adanya media sosial, usaha untuk mencari kumpulan sebegini rupanya amat luas! Tak perlu ke luar negeri untuk permulaan. Di Negara kita sendiri sudah banyak kumpulan-kumpulan kecil yang ditubuhkan atas niat yang sama. Dengan cara ini juga saya memulakan langkah membina rangkaian perniagaan.

Di sini, ingin saya kongsikan beberapa tip ringkas bagaimana hendak memulakan rangkaian sosial anda sendiri, semasa menghadiri majlis-majlis yang berteraskan perniagaan:

  1. Bawa kad perniagaan. Walaupun anda belum mempunyai perniagaan, reka kad yang simple bersama maklumat seperti nombor untuk dihubungi serta email.
  2. Reka satu email yang senang untuk diingati, tidak berbunyi terlalu peribadi atau penuh dengan gimik.
  3. Cipta satu ayat ringkas yang akan memperkenalkan diri anda kepada rakan baru. Maklumat yang perlu ada ialah nama anda serta apa yang anda sedang atau ingin lakukan. Pastikan sesi ini hanya untuk 30 saat.
  4. Sentiasa cari peluang menghadirkan diri ke acara-acara yang berkaitan dengan bidang yang anda ceburi.
  5. Berhubung dengan kenalan baru dari masa ke semasa. Bina persahabatan yang ikhlas dengan mereka.

Praktikkan tip ringkas ini, lama-kelamaan anda membentuk rangkaian sosial anda yang tersendiri.  Selamat berjaya.